Thursday, June 2, 2011

kenangan lama :)

Cacat bukan penghalang


NOOR Azam (empat dari kiri, berbaju biru) bergambar di hadapan bengkel barunya dengan para pelajar yang menyertai episod pertama Gegar U II di Kajang, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 2 Julai - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, itulah prinsip hidup seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Noor Azam Md. Noor, 35, sejak dahulu lagi.

Dengan semangat itu, beliau yang sejak lima tahun lalu mengambil upah membaiki televisyen serta peralatan elektronik lain di ruang garaj kereta kediaman bapa mertuanya, kini beroperasi dengan lebih selesa di bengkel baru.

''Dengan bengkel baru ini, saya boleh membesarkan lagi perniagaan,'' katanya ketika ditemui semasa penggambaran siri rea- liti televisyen, Gegar U II, di Kajang dekat sini baru-baru ini.

Noor Azam yang mengalami lemah fisiologi kaki sejak lahir merupakan salah seorang peserta rancangan itu bagi kawasan Lembah Klang. Ia diterbitkan oleh Astro dengan kerjasamaUtusan Malaysia dan Yayasan Budi Penyayang.

Menurutnya, bengkel baru yang diterima daripada program tersebut bakal memudahkan urusan hariannya kerana terletak bersebelahan dengan rumah bapa mertuanya.

''Selain itu, saya juga kini tidak perlu terlalu risau tentang risiko kehilangan barang-barang elektronik yang dibaiki kerana bengkel itu memudahkan penyimpanan serta lebih selamat," ujarnya.

Sebelum ini, katanya, beliau kerap mengalami kecurian barang elektronik milik pelanggan yang dibaiki kerana sesetengahnya terpaksa diletakkan di garaj akibat ruang simpanan yang terhad.

Menurutnya, sekalipun beberapa rumah saudaranya berdekatan, kes kecurian tetap berlaku terutama pada waktu malam.

Beliau yang dihubungi hari ini berhasrat mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mengambil beberapa pembantu memandangkan bilangan pelanggannya semakin bertambah.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia yang mengenal pasti dan memilih saya menyertai program ini. Terima kasih juga kepada Astro dan Yayasan Budi Penyayang," katanya.

Sementara itu, Penerbit rancangan itu, Saiful Shahiran Saiful Azmi berkata, sikap positif Noor Azam yang rajin berusaha membuatkan beliau dikesan dan dipilih Utusan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Anggota Malaysia (POCAM).

Mengenai rancangan itu pula, katanya, selain peserta yang menerima sumbangan, ia turut disertai oleh lima orang pelajar universiti awam dan swasta seluruh negara bagi setiap episod.

''Para pelajar ini diwajibkan menempuh beberapa halangan seperti sukan-sukan lasak, sebelum layak membuat kerja amal membantu peserta yang dipilih menerima sumbangan pada satu-satu episod," jelasnya.

Para peserta dari kalangan pelajar yang membantu Noor Azam adalah Mohd. Fadzli Fadzilah, Nurulshahizan Rahmat, Mazni Janiah Jamat (kesemuanya dari Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya), Nur Shamimi Kamarulzaman dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam, Selangor, dan Marzalina Ghazali dari Universiti Industri Selangor (Unisel).

Bagi salah seorang peserta, Nur Shamimi, beliau merasa bertuah terpilih menyertai program Gegar U II kerana ia memberi banyak kelebihan seperti mengenali pelajar dari universiti lain dan menambah keyakinan diri.

''Selain itu secara peribadi, saya memang suka menolong orang dan dengan membantu Noor Azam membuka minda saya bahawa kecacatan bukan penghalang untuk kita berusaha dan mencipta kejayaan," katanya.

Gegar U musim kedua itu disiarkan dua kali setiap hari Selasa pada pukul 5.30 pe- tang dan 10.30 malam selama setengah jam di saluran 104 Astro mulai esok (2 Julai).


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm

No comments:

Post a Comment